Page Nav

HIDE

Grid

GRID_STYLE

Hover Effects

TRUE
{fbt_classic_header}

Header Ad

Buletin Terkini

latest

PPN: 5 negeri beralih ke fasa kedua

PUTRAJAYA: Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis setakat semalam memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemu...


PUTRAJAYA: Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis setakat semalam memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata kelima-lima negeri berkenaan mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Katanya, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit COVID-19 di negeri terbabit turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

"Selepas kerajaan bersetuju meluluskan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dibuat di peringkat negeri, tanpa menunggu kemajuan di peringkat Persekutuan, ada semakan tertentu terhadap nilai ambang yang dilakukan.

"Justeru, perkiraan digunakan bagi mengukur kadar purata kes di peringkat negeri ialah nilai ambang fasa berikutnya didarab jumlah penduduk negeri dan dibahagi populasi di Malaysia.

"Oleh itu, menerusi perkiraan ini dan pertimbangan terhadap dua lagi nilai ambang, kita dapati lima negeri sudah memenuhi semua prasyarat untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Berdasarkan perangkaan semasa dari 1 Jun hingga 1 Julai lalu, Tengku Zafrul menjelaskan kebanyakan negeri merekodkan penyusutan mendadak purata kes COVID-19, dengan Terengganu mencatatkan kadar perubahan terbesar iaitu 86.1 peratus.

Jelasnya, perubahan positif itu turut dilihat berlaku di Kelantan yang melakar pengurangan purata kes COVID-19 bagi tempoh sama sebanyak 83 peratus, disusuli Perlis (75 peratus), Pulau Pinang (57.4 peratus), Kedah (53.3 peratus), Johor (48.4 peratus) dan Putrajaya (40.5 peratus).

"Secara keseluruhan, sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang kes purata COVID-19 untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan Perak.

"Sabah dan Terengganu pula sudah beralih ke fasa ketiga, bersandarkan nilai ambang purata kes COVID-19, manakala hanya Perlis yang mengecapi fasa keempat.

"Sekiranya diteliti nilai ambang bagi liputan vaksin pula, sembilan negeri dan semua Wilayah Persekutuan sudah cukup syarat untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.

"Negeri berkenaan ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sarawak, selain Putrajaya, Labuan serta Kuala Lumpur," katanya.

Tengku Zafrul berkata keputusan untuk membenarkan peralihan mengikut peringkat negeri diharap berupaya menjadi insentif dan galakan ke arah membasmi penularan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau meletakkan harapan untuk negeri lain mengikuti jejak langkah sama, dengan melakar kemajuan dan memenuhi tiga nilai ambang seperti digariskan dalam PPN.

Kepada soalan sama ada negeri yang mencatatkan peningkatan kes purata COVID-19 dan penyusutan kapasiti katil ICU akan diturunkan kedudukan fasa, Tengku Zafrul menjelaskan perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perkara ini akan dibentangkan dulu dalam Jawatankuasa Teknikal MKN sebelum diperhalusi di peringkat Sidang Khas MKN, sebelum pengumuman lanjut dibuat," katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peralihan fasa kedua bagi lima negeri berkenaan akan berkuat kuasa mulai Isnin ini.

Fasa kedua masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat dengan aktiviti sosial kekal ditutup dan sekatan pergerakan seperti mana fasa pertama.

Perbezaan utama antara fasa pertama dan kedua adalah dari segi kebenaran peningkatan kapasiti fizikal daripada 60 peratus kepada 80 peratus meliputi sektor dibenarkan selain penambahan beberapa sektor dalam senarai positif yang boleh beroperasi.


Tiada ulasan