Sabtu, 20 Jun 2020

Kota Kinabalu kini zon hijau

KOTA KINABALU: Daerah Kota Kinabalu yang mencatatkan kes Covid-19 kedua tertinggi di Sabah akhirnya menjadi zon hijau apabila kes terakhir dilaporkan pulih pada hari ini.

Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan satu kes terakhir dilaporkan pulih pada hari ini, daerah ini akhirnya menjadi zon hijau setelah lebih tiga bulan mencatatkan kes Covid-19.

Katanya, bilangan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di Kota Kinabalu adalah sebanyak 63 kes.

Sehubungan itu, daerah yang masih mencatatkan kes aktif di Sabah hanya tinggal empat daerah iaitu Tuaran, Penampang, Papar dan Pitas.

Beliau berkata, terdapat satu kes baharu dilaporkan di Tuaran hari ini dan bilangan kumulatif kes di Tuaran kini adalah 27 kes. Masih terdapat dua kes aktif dilaporkan di daerah ini.

Kes aktif turut dilaporkan di Penampang (3), Papar (1) dan Pitas (1).

Dengan pertambahan satu kes baharu itu, bilangan kumulatif kes di Sabah adalah sebanyak 363 kes dan tiga kes pulih dilaporkan hari ini.

Bilangan kematian pula kekal tujuh kes dengan empat kematian dilaporkan di Kota Kinabalu, satu kes kematian masing-masing di Tawau, Keningau dan Tambunan.

Di seluruh Malaysia, sebanyak 21 kes baharu positif dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 8,556 kes.

Manakala, terdapat 76 kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,146 kes.

Tiada sebarang kes kematian dilaporkan hari ini dan jumlah kes kematian kekal sebanyak 121 kes. Sementara itu, tiga pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). - Borneo Today

Loading...
Share This