Op Patuh besar-besaran esok

Putrajaya: Op Patuh yang akan diadakan di seluruh negara secara besar-besaran esok akan memberi lebih tumpuan kepada negeri mempunyai kes ja...


Putrajaya: Op Patuh yang akan diadakan di seluruh negara secara besar-besaran esok akan memberi lebih tumpuan kepada negeri mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya juga sudah menerima pemetaan kawasan perindustrian dan kawasan penginapan pekerja yang yang mempunyai potensi tinggi penularan Covid-19.

Katanya, menerusi operasi berkenaan mana-mana pihak yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta arahan kerajaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), akan dikenakan tindakan.

"Sebelum ini banyak tangkapan dibuat di Selangor dan Kuala Lumpur, siasatan terhadap pekerja warga asing ini mendapati ada sesetengah pekerja ini walaupun menjadi kontak rapat kerana rakannya dijangkiti Covid-19, namun mereka tidak dikuarantin.

"Semua maklumat ini kita ambil dan akan membuat tangkapan sewaktu Op Patuh termasuk majikan. Ini kerana dia (majikan) bukan sahaja melakukan kesalahan tetapi turut menzalimi pekerja," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 (JKPS), hari ini.

Bagi kelancaran operasi berkenaan di peringkat lapangan, Hamzah berkata, operasi itu akan diketuai oleh Ketua Polis Daerah masing-masing sebagai komander lapangan bersama dengan semua anggota penguatkuasa dari jabatan atau agensi yang lain.

"Berikutan itu, kita menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua Ketua Polis Daerah yang terbabit dengan pemantauan Op Patuh yang diadakan," katanya.

Tambah Hamzah, Op Patuh itu juga akan menggerakkan aset seperti helikopter dan dron bagi memantau kawasan operasi.

"Selalunya bila kita masuk pintu depan, dia (pekerja) akan keluar ikut pintu belakang. Jadi dengan adanya helikopter dan dron ini kita dapat melihat keseluruhan kawasan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, mesyuarat berkenaan turut bersetuju untuk menyelaraskan penugasan penguatkuasaan pematuhan SOP Covid-19 bagi mengelakan berlakunya pertindihan pemantauan oleh agensi penguatkuasa.

"Bagi sektor perkilangan, agensi peneraju ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala untuk restoran dan kedai makan ia bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu bagi sektor perniagaan, pengedaran dan peruncitan pula ialah bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya.

Sementara itu, mengenai operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihaknya dari 25 hingga semalam, Hamzah berkata, 126,207 premis seperti kilang, asrama penempatan pekerja dan premis perniagaan sudah diperiksa.

Daripada jumlah premis yang diperiksa itu, 602 kompaun sudah dikeluarkan terhadap kilang dan premis dengan 60 daripadanya sudah diarahkan tutup atas kesalahan tidak mematuhi SOP serta arahan PKP.

Related

Buletin Nasional 7451300137453626024

Catat Ulasan

emo-but-icon

Popular

Terkini

Identiti mangsa dalam Myvi hanyut di Kionsom dikenal pasti

Pasukan mencari dan menyelamat melakukan operasi di Sungai Dambai, Inanam, Kota Kinabalu pada Sabtu. KOTA KINABALU - Identiti kedua-dua mang...

item