KOTA KINABALU: Sabah FC kembali guna maskot Badak (Rhinos) apabila mengharungi cabaran musim baru Liga Malaysia tahun depan. Ketua Pegawai E...
KOTA KINABALU: Sabah FC kembali guna maskot Badak (Rhinos) apabila mengharungi cabaran musim baru Liga Malaysia tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato Verdon Bahanda berkata, beliau membuat keputusan itu atas permintaan majoriti peminat.
Sabah memang bergelar Badak sebelum menggantikannya dengan maskot Tambadau dalam dua musim terakhir.
"Saya tahu bahawa antara yang menjadi bualan peminat-peminat di luar sana adalah berkenaan maskot kita.
"Saya nampak disebabkan oleh permintaan, lebih 90 peratus daripada peminat ingin kita kembalikan maskot kepada `Rhinos' maka hari ini saya putuskan untuk mengembalikan maskot kepada Rhinos atau Badak," kata Verdon dalam sidang media di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Likas dekat sini.
Menurutnya, Sabah juga akan kembali menjadikan jersi merah sebagai jersi keramatnya tetapi rekabentuknya hanya akan didedahkan semasa majlis memperkenalkan pemain nanti.
"Begitu juga dengan kekangan yang berlaku sebelum ini seperti gendang dan `banner'.. Saya juga akan membenarkan penggunaan gendang dan juga banner yang sesuai di dalam stadium tetapi perlu mematuhi garis panduan yang akan dikeluarkan kelab," katanya.
Beliau berharap langkah itu akan membawa semula peminat memenuhi stadium tetapi sebagai peminat yang berdisiplin.
"Harapan saya supaya saya dan rakan-rakan dalam pengurusan Sabah FC diberikan peluang sebaik mungkin sama ada daripada peminat ataupun daripada pemain-pemain yang akan kita pilih nanti. Berikanlah kami kepercayaan sepenuhnya untuk mengendali tugasan ini dan akhirnya kita boleh bersaing di Liga Super pada masa hadapan dengan lebih baik," katanya. - Utusan Borneo
Tiada ulasan