Page Nav

HIDE

Grid

GRID_STYLE

Hover Effects

TRUE
{fbt_classic_header}

Header Ad

//

Buletin Terkini

latest

Ads Place

3,030 bayi, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan seramai 3,030 bayi dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun disahkan positif COVID-19 sehingga semalam. Menter...


KOTA KINABALU: Sabah merekodkan seramai 3,030 bayi dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun disahkan positif COVID-19 sehingga semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu mewakili 12.15 peratus daripada jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti COVID-19 di Sabah setakat ini.

"Daripada jumlah ini, kanak-kanak berumur kurang lima tahun adalah seramai 1,241 orang, manakala bayi berumur di bawah setahun adalah seramai 191 orang.

"Ini menunjukkan kadar jangkitan COVID-19 membabitkan bayi dan kanak-kanak di Sabah adalah tinggi," katanya pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Setakat hari ini, Sabah merekodkan sebanyak 25,441 kumulatif kes positif COVID-19 dengan 512 kes baharu dan tiga kematian.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 kerajaan negeri, berkata pesakit kanak-kanak diberikan sokongan dalam bentuk Psychological First Aid (PFA) untuk membantu mereka menghadapi tekanan dan kesan mental akibat dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, bantuan sokongan yang diberikan Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah itu turut diberikan kepada pesakit dewasa, orang awam dan kakitangan.

"Perkhidmatan ini diberikan kepada individu yang dijangkiti COVID-19 atau dikuarantin. Ia turut diberikan kepada orang awam dan kakitangan yang terkesan dengan COVID-19.

"Selain itu, orang awam juga boleh mendapatkan perkhidmatan PFA melalui talian hotline MHPSS mengikut daerah masing-masing. Kanak-kanak juga diberikan PFA melalui pasukan MHPSS yang akan menghubungi mereka melalui penjaga masing-masing.

"Sekiranya tidak dapat dihubungi, kanak-kanak ini akan diberikan PFA ketika berada di pusat rawatan. Ini bagi memastikan kesihatan mental mereka tidak terjejas," katanya.

Bagi kanak-kanak yang berada di pusat rawatan, katanya mereka akan diberikan kit PFA yang mengandungi buku-buku dan alat tulis, selain kaunseling sekiranya diperlukan.

Beliau berkata, aktiviti lain PFA yang dilakukan bersama kanak-kanak termasuk terapi seni, terapi muzik dan tarian, serta aktiviti bercerita.

PFA juga diberikan kepada penjaga supaya mereka dapat memberikan maklumat terus kepada pasukan MHPSS jika ada masalah kesihatan mental seperti tekanan dan stigma daripada persekitaran kanak-kanak.

"Penjaga dinasihatkan sentiasa memantau keadaan kesihatan mental anak-anak dan terus merujuk kepada pasukan MHPSS jika memerlukan intervensi.

"Bagaimanapun, setakat ini tiada kanak-kanak yang memerlukan intervensi lanjutan atau rujukan ke pakar psikiatri. Jumlah PFA yang diedarkan setakat ini adalah sebanyak 977 set," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan perkhidmatan sokongan secara dalam talian iaitu tele-kaunseling kepada individu yang menghadapi tekanan akibat COVID-19.

Katanya, individu yang memerlukan perkhidmatan sokongan boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah untuk pertanyaan lanjut.


Tiada ulasan

Ads Place