Isnin, 14 September 2020

CALON BEBAS PUNYAI KELEBIHAN UNTUK MENANG KERUSI DUN KUALA PENYU

HAJI MOHD FADZLEE LEE ABDULLAH CALON BEBAS N. 33 KUALA PENYU. 

KUALA PENYU: Bukan sesuatu yang mustahil, penampilan secara mengejut Haji Fadzlee Lee Abdullah sebagai calon Bebas untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N.33 Kuala Penyu pada 26 September ini, akan melakukan kejutan untuk memenangi kerusi tersebut.

Sebagaimana pendirian mengejut yang diambilnya di saat akhir sebelum hari penamaan calon, keadaan yang berlaku di Kuala Penyu ini ketika ini seolah-olah membayangkan kemenangan akan memihak kepada calon Bebas ini.

Bekas Ketua Umno Bahagian Beaufort itu menggunakan lambang buku, yang beliau sendiri meminatinya. Dengan menggunakan buku, ia seperti membolehkan beliau mencatat masalah-masalah yang masih dihadapi rakyat di kawasan berkenaan.

ZIARAH.. calon Bebas Dun Kuala Penyu Haji Mohd. Fadzlee Lee Abdullah ketika melakukan ziarah rumah ke rumah di kampung Sikalong Menumbok
Haji Fadzlee yang juga bekas Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu memikir semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas.

Katanya, beliau menyahut cabaran ramai rakyat di Kuala Penyu yang mahukan beliau bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini.

Selepas DUN dibubarkan, ia sebenarnya membuka peluang kepada pemimpin politik untuk bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menjadi calon apabila diperlukan berbuat demikian oleh rakyat.

"Saya tidak terkecuali namun ia perl;u difikirkan secara mendalam di samping melihat aspirasi dan kehendak daripada rakyat," katanya ketika ditemui di Menumbok, lokasi kediaman pemimpin yang mempunyai sikap sederhana ini.

Menurut beliau, pihaknya menyedari bahawa sokongan rakyat memberi semangat tinggi kepadanya untuk memutuskan beliau bertanding.

"Ada yang menangis mahukan saya supaya bertanding. Ini menguatkan semangat saya. Terima kasih kepada semua mereka dan saya sangat menghargai sokongan mereka," katanya.

Sehari selepas penamaan calon, Haji Fadzlee tidak berlengah lagi dan memulakannya dengan membuat "walkabout" di tamu pekan Menumbok dengan sapaan mesra kepada para peniaga dan penjaja.

Beliau kemudian meneruskan aktiviti dengan membuat kunjungan rumah ke rumah saudara mara dan sahabat handai di beberapa kampung.

"Saya akan meneruskan program serupa dan mengadakan beberapa siri perjumpaan dan ceramah di lokasi tretentu dalam skala yang dibenarkan dan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Haji Fadzlee memberitahu, sekalipun ini pengalaman kali pertama baginya namun ia memberi kepuasan kerana ia permulaan untuknya dapat berkhidmat kepada rakyat di Kuala Penyu.

"Saya lihat sokongan rakyat sangat baik dan ia memberi keyakinan kepadanya sebagai seorang calon bagi merebut kerusi Dun Kuala Penyu,".

"InsyaAllah, berdasarkan sokongan rakyat semua kaum bukan sahaja memberi keyakinan tetapi ia tentu memberi kelebihan untuk memenangi kerusi Dun Kuala Penyu pada 26 September ini," tegasnya.

Beliau berkata, pihaknya akan bersama-sama rakyat sepakat untuk melakukan perubahan yang mereka inginkan.

"Suara rakyat adalah suara keramat, kita hanya boleh merancang untuk melakukan perubahan dengan dokongan serta sokongan mereka," ujar Haji Fadzlee.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat pelbagai latar belakang di kawasan ini perlu bersama-samanya menggabungkan kerjasama dan persefahaman untuk mengulangi sejarah calon Bebas mampu memenagi kerusi Dun berkenaan.

Kerusi Dun berkenaan pernah dimenangi Bebas dalam pilihan raya negeri pada 2004.

Loading...
Share This