Khamis, 23 Julai 2020

Wanita hamil buat laporan palsu disamun di Labuan berdepan tindakan

Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad 
LABUAN: Seorang wanita berdepan tindakan undang-undang apabila membuat kenyataan palsu berhubung kes samun terhadapnya, di tandas luar sebuah restoran makanan, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu, pihaknya menubuhkan pasukan operasi khas untuk mengesan 2 suspek lelaki yang dikatakan telah menyamun wanita berumur 33 tahun itu.

Bagaimanapun, dari siasatan yang dijalankan pihak polis, wanita berkenaan yang sarat mengandung 5 bulan, mengaku tiada kejadian samun berlaku.

Mangsa menyatakan telah tercedera disebabkan terjatuh sendiri di dalam tandas kerana berasa pening, dan bukannya akibat disamun, sebelum meminta bantuan pekerja restoran berkenaan.

Dari siasatan polis, tiada pengeluaran wang tunai sebanyak RM 4,000 menerusi mesin ATM sebuah bank berhampiran, seperti yang didakwa sebelum ini.

Sebaliknya, hanya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya sendiri.

Sementara rantai emas yang dilaporkan direntap, adalah tidak wujud.

Menerusi siasatan, wanita itu mengaku bahawa wang yang dilaporkan kononnya disamun, adalah wang suaminya yang telah digunakannya untuk pertaruhan judi dalam talian.

Menurut Superintenden Muhamad Farid, wanita tu boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara 6 bulan, atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya sekali. - BES RTM Labuan

Loading...
Share This