Isnin, 27 Julai 2020

Wanita diikat sebelum disamun di Sandakan

MOHD AZHAR HAMIN
SANDAKAN: Seorang wanita penjual sayur diikat sebelum disamun dua lelaki di rumahnya di Batu 25, awal pagi kelmarin.

Wanita berumur 56 tahun itu disamun dalam kejadian jam 2 pagi ketika bersiap hendak ke pasar untuk berniaga.

Salah seorang dari dua lelaki datang dari arah belakang telah mencekik leher mangsa. Mata, mulut dan tangan mangsa telah diikat oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, kedua-dua suspek telah mengambil beg mangsa yang berisi kunci kereta, dua telefon bimbit, wang dan kad pengenalan mangsa.  

"Suspek telah melarikan diri dengan menggunakan kereta mangsa jenis sedan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian leher, tangan dan belakang badan dalam kejadian itu berjaya membuka ikatan sebelum mendapatkan bantuan ke rumah jiran yang terletak lebih kurang 600 meter dari rumahnya.

Beliau berkata, pihak polis sedang giat mengesan kedua suspek berdasarkan maklumat yang diberi mangsa.

Pihaknya menjalankan siasatan kes itu dibawah Seksyen 395/397A Kanun Keseksaan. - Utusan Borneo

Loading...
Share This