Khamis, 30 Julai 2020

UMNO umum tarik diri daripada Perikatan Nasional

UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli parlimen Umno dan BN serta Ahli Dewan Undangan Negeri dalam pembentukan kerajaan pusat dan di beberapa negeri tertentu.

Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan ahli parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen sudah menyatakan hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai MN.

"Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi. Jawatankuasa Induk MN sebelum ini memutuskan untuk Umno dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan menyerahkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk mempertimbangkan hasrat Bersatu sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara.

Sebelum ini beliau memberi reaksi akan mempertimbang semula kedudukan Umno dan PN susulan keputusan kes Datuk Seri Najib Razak Selasa lalu.

Loading...
Share This