Selasa, 21 Julai 2020

Syabu: Bapa, anak perempuan antara 14 ditahan di Tuaran

TUARAN: Seorang lelaki warga emas dan anak perempuannya yang leka menagih dadah adalah antara 14 individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tuaran semasa serbuan di empat lokasi di daerah ini.

Operasi Ops Cegah Bulanan yang bermula jam 10 malam tadi dan berakhir jam 2 pagi, hari ini itu dijalankan di Mengkabong, Taman Telipok Ria, Kampung Laya-laya dan Taman Sri Rugading.

Ketua Pegawai AADK Daerah Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata, bertindak hasil maklumat orang awam dan risikan, pihaknya menyerbu semua suspek berusia 19 tahun sehingga 62 tahun.

“Serbuan di tingkat empat di perumahan Taman Sri Rugading, pihak AADK mendapati seramai lima atau enam orang berjaya melarikan diri melalui koridor serta tingkap dengan melompat sebelum menuruni blok bangunan ala ‘Spiderman’.

“Di situ, kita menahan lelaki berusia 62 tahun serta anak perempuannya berusia 34 tahun,” katanya dihubungi.

Siasatan awal menunjukkan dua beranak itu merupakan penghuni rumah terbabit dan mengakui menjadikan rumah mereka sebagai tempat menagih dadah.

“Daripada 14 (13 lelaki, seorang wanita) yang ditahan, warga emas terbabit dilepaskan dengan jaminan disebabkan usianya. Anak perempuannya juga dijamin sementara menunggu kes dibawa ke mahkamah.

“Selain itu, dua lagi lelaki didapati tiada dokumen perjalanan dan diserahkan kepada pihak polis.

Beliau berkata 13 individu diuji positif syabu selepas saringan awal ujian kencing, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Asraf berkata, 10 lagi suspek ditahan reman selama  14 hari bermula Isnin di Pusat Tahanan Reman AADK Papar.

Loading...
Share This