Khamis, 30 Julai 2020

Shafie mengadap Yang Dipertua Negeri

Kenderaan yang dipercayai membawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memasuki pintu gerbang Istana Negeri Sabah untuk mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan memasuki Istana Negeri sekitar jam 8.20 pagi tadi bersama lima buah kenderaan dengan satu daripadanya mempunyai lambang Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Difahamkan rombongan terbabit adalah bertujuan bagi bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berikutan susulan perkembangan terkini keadaan politik di Sabah.

Rombongan itu bagaimanapun keluar dari dari Istana Negeri sekitar jam 9 pagi.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati semua laluan pintu masuk ke Istana Negeri dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang bertugas serta dua laluan ke Istana Negeri juga ditutup.

Pengamal media juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan terbabit oleh anggota keselamatan.

Shafie dijadualkan akan melakukan sidang media jam 10 pagi ini bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) berhubung kemelut politik yang berlaku secara mengejut sejak semalam.

Terdahulu, media semalam melaporkan Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara terbabit, setakat ini.

Loading...
Share This