Rabu, 29 Julai 2020

Sekolah masih selamat, walaupun ada murid positif Covid-19 di Sabah

MESKIPUN ada jangkitan Covid-19 direkodkan membabitkan murid sekolah di Sabah, kawasan sekolah dalam negara ketika ini masih selamat berikutan tiada jangkitan berlaku dalam kalangan pelajar dan guru yang dikesan berlaku di sekolah sejak sesi persekolahan dibuka semula ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui laporan kes positif Covid-19 membabitkan murid sekolah di Sabah, Isnin lalu, namun jangkitan wabak itu berlaku di luar sekolah.

"Kes ini memang membabitkan murid sekolah tetapi jangkitan bukan berlaku di sekolah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, ketika Sesi Libat Urus Media dalam menangani pandemik Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini, Dr Noor Hisham menjelaskan, kawasan sekolah masih selamat untuk murid dan pelajar.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

"Sekolah juga satu risiko tetapi kita boleh uruskan, kalau ada kes di sekolah memang kita saran tutup sekolah terbabit," katanya.

Beliau berkata, pembukaan semula sesi persekolahan sudah diperhalusi KKM bersama dan KPM dengan merangka SOP yang perlu dipatuhi setiap murid serta pelajar, terutama cara pergaulan, penjarakan sosial, susunan meja dan amalan ketika rehat.

"Sampai bila kita tidak boleh membenarkan sekolah beroperasi. Tetapi dari 10 Jun sehingga hari ini, tiada kes dikesan di sekolah, jadi sekolah masih kawasan yang selamat.

"Isu sekarang di luar sekolah dan perbincangan kami supaya pelajar dilepaskan pulang secara berperingkat dan tiada yang berkumpul bagi mengurangkan kesesakan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, memang ada cadangan untuk memasukkan silibus kesihatan awam dalam pembelajaran pelajar sekolah.

"Memang ada proses untuk memasukkan silibus kesihatan awam dalam pembelajaran di sekolah.

"Cadangan ini telah pun dimaklumkan kepada kita dan tindakan sedang dilakukan untuk memasukkan silibus kesihatan awam dalam kalangan kanak-kanak, contohnya apa yang kita laksanakan setakat ini dan bagaimana kita mahu keluarkan silibus untuk diamalkan," katanya.

Loading...
Share This