Ahad, 26 Julai 2020

Sarawak laksana kawalan pergerakan antara daerah bermula 1 Ogos

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan melaksanakan kawalan pergerakan antara daerah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin meningkat semula khususnya di Kuching.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, turut akan dilaksanakan ialah pengurangan jumlah penerbangan masuk dan keluar dari Sarawak serta mengurangkan tempoh operasi perniagaan.

Menurutnya, JPBN akan mengumumkan strategi itu dengan lebih terperinci selepas ia diperhalusi dalam masa terdekat.

"Mesyuarat khas JPBN yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg hari ini mengambil maklum perkembangan terkini mengenai jumlah kes positif Covid-19 di Kuching dan Samarahan.

"Justeru, beberapa tindakan segera harus diambil sebagai langkah pengawalan penularan Covid-19 di Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah berkata, JPBN juga memutuskan semua warga Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di hotel.

"Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan ujian PCR Covid-19 negatif mereka dibenarkan balik. Arahan ini berkuatkuasa pada 1 hingga 14 Ogos.

"Bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, arahan adalah sama seperti diumumkan sebelum ini iaitu mereka diwajibkan menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari," katanya.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, dalam usaha mengekang penularan pandemik itu terutamanya di kawasan panas, Kota Sentosa, di Kuching, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan pelaksanaan penjejakan kontak atau pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan sempadan daerah Kuching dan Samarahan itu.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak mencatatkan satu lagi kes kematian jangkitan Covid-19 hari ini.

"Kes kematian yang ke-19 membabitkan kes ke-589 dilaporkan di Sarawak dan kes kematian ke-124 di Malaysia.

"Mangsa adalah seorang wanita warga tempatan berumur 63 tahun beralamat di Samariang Baru, Kuching," katanya

Tambahnya, satu kes positif Covid-19 dilaporkan di Kuching hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak sebanyak 650 kes.

Loading...
Share This