Jumaat, 3 Julai 2020

Sabah tidak pernah bincang benar warga China masuk – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Sabah membenarkan semula perjalanan masuk pekerja warga asing dari China bukan keputusan daripada Kerajaan Persekutuan.

Malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP juga tidak pernah dimaklumkan oleh Kerajaan Sabah berhubung keputusan itu.

“Saya tidak tahu pekerja apa yang dimaksudkan itu. Tetapi, setakat ini Kerajaan Malaysia masih menganggap China adalah kawasan berisiko tinggi.

“Oleh itu, semua pelancong atau pekerja dari negara itu masih tidak dibenarkan masuk,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, kerajaan masih menggunapakai Akta 342 dan menutup pintu masuk kepada warga asing ke negara ini

“Apa yang dilakukan oleh Sabah itu, mereka lakukan sendiri tanpa bincang dengan kita, dan kita tak pernah bincang,” katanya.

Rabu lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, kerajaannya membenarkan semua perjalanan masuk ke Sabah, sama ada melalui udara, darat dan laut kepada pekerja warga asing dari Republik China yang sudah mempunyai permit kerja di negeri itu.

Beliau berkata, kebenaran itu dibuat berkuatkuasa serta-merta pada hari Rabu.


Bagaimanapun, katanya, pekerja asing dari China dikehendaki melakukan ujian saringan Covid-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan perlu disahkan bebas daripada gejala tersebut.

Kata Shafie lagi, kebenaran itu juga tertakluk kepada pematuhan SOP Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), peraturan-peraturan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berwajib yang sedang berkuatkuasa. 

Loading...
Share This