Sabtu, 4 Julai 2020

Sabah lancar minyak masak baharu

SANDAKAN: Sabah mengeluarkan satu lagi produk minyak masak dengan jenama 'Gold' yang dilancarkan hari ini.

Ia adalah keluaran satu syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah sebagai rakan kongsi Intipati Sawit Kinabalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau yakin produk itu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pelbagai faedah kepada ekonomi negeri.

"Saya percaya dengan kehadiran minyak masak GOLD ia menyumbang lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

"Inisiatif pengeluaran produk minyak masak sawit ini adalah bertepatan dengan rencana pembangunan perindustrian negeri dalam usaha untuk mewujudkan sektor pembuatan.

"Usaha ini akan dapat mewujudkan ekonomi yang dinamik dan maju sekali gus merealisasikan aspirasi menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang maju," katanya berucap sempena Majlis Pelancaran Minyak Masak Jenama 'Gold' Keluaran Syarikat Intipati Sawit Kinabalu Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai pengeluar utama minyak mentah di Malaysia, sudah semestinya peserta industri berusaha lebih agresif dalam bidang hiliran bersesuaian dengan sektor perindustrian negeri Sabah.

"Seperti majlis hari ini adalah (pembukaan) kilang kedua di bawah Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang diwujudkan di peringkat Negeri Sabah, yang satu itu di Tawau dan ketiga nanti di Keningau.

"Saya yakin keluaran produk minyak masak itu berupaya maju disebabkan kualiti dan bermutu tinggi serta setanding dengan pengeluar ternama, malah jauh lebih baik," katanya.

Kilang berkenaan mampu mengeluarkansebanyak 2,000 botol minyak masak sehari.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa syarikat usahasama Intipati Sawit Kinabalu memberikan tumpuan khusus ke arah mengeluarkan minyak masak berkualiti tinggi sebagai strategi pemasaran syarikat.

"Saya difahamkan bahawa sasaran penjualan pasaran antarabangsa syarikat adalah sebanyak 3,000 tan setiap bulan, dengan usaha gigih serta penuh fokus, saya yakin matlamat ini tidak terlalu rumit untuk direalisasi lebih jauh lagi," katanya.

Pada majlis itu, beliau juga menyempurnakan upacara Penyerahan Kembali Ladang Sawit Bagahak Dua dan Tiga seluas 17,052 ekar kepada pekebun-pekebun kecil Lahad Datu yang sekarang ini di bawah usaha sama dengan Kumpulan Sawit Kinabalu.

Loading...
Share This