Isnin, 27 Julai 2020

Penunggang motorsikal tular belasah lelaki di KK sudah ditahan

KOTA KINBALU: Seorang penunggang motosikal yang dirakam membelasah lelaki di Api-Api Centre yang tular di laman sosial berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bertindak atas maklumat, lelaki berusia 35 tahun itu berjaya ditahan di rumahnya di Taman Sempelang pada pukul 11.30 malam oleh sepasukan polis yang melakukan serbuan.

Katanya, dalam insiden itu, mangsa mengalami beberapa kecederaan di kepala dan badan akibat dipukul oleh suspek.

“Suspek ditahan bersama pakaian dan barangan yang dibawa ketika kejadian itu berlaku.

“Polis turut merampas motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai 16 kes jenayah lampau.

“Suspek juga dikenali sebagai ‘Lunchai’ dan bersikap agresif dan mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah, curi dan mendatangkan kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan pada orang lain,” katanya.

Loading...
Share This