Sabtu, 11 Julai 2020

Pemandu maut, kereta terbabas langgar takungan air di Tuaran

Kejadian awal berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tuaran dipercayai dalam keadaan laju sebelum melanggar takungan air di atas jalan.
TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar takungan air di Kampung Melalin Jalan Telipok Tenggilan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata kejadian jam 3.38 pagi berlaku membabitkan mangsa berumur 38 tahun.

“Kejadian awal berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tuaran dipercayai dalam keadaan laju sebelum melanggar takungan air di atas jalan.

“Keadaan menyebabkan kenderaannya hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar simen konkrit parit di bahu jalan,” katanya.

Menurutnya mangsa terkeluar daripada kenderaan dan kereta jenis kompak yang dinaiki terbabas masuk ke dalam parit.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di badan dan kepala disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Share This