Rabu, 22 Julai 2020

Murid maut hari pertama persekolahan

KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan yang menyebabkan Nur Aqilah meninggal dunia
HASRAT murid tahun tiga untuk bertemu guru dan rakan selepas hampir empat bulan tidak bersekolah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak kesampaian apabila mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Panchor, Durian Tunggal di Alor Gajah, hari ini.

Murid Sekolah Kebangsaan Parit Melana, Durian Tunggal, Nur Aqilah Husna Amirul Husaini meninggal dunia akibat terperosok di bawah lori lima tan selepas motosikal ditunggangnya bersama bapanya, Amirul Husaini Muhammad, 33, dilanggar lori.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, Proton Wira dipandu lelaki berusia 28 tahun dan Toyota Alphard dipandu guru lelaki berusia 47 tahun turut terbabit dalam kejadian 7.20 pagi itu.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa dan bapanya dalam perjalanan dari Kampung Beringin, Alor Gajah ke sekolah.

"Ketika kejadian, pemandu Proton Wira yang dalam perjalanan dari arah Kampung Pantai Belimbing ke Kampung Melaka Pindah dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan Toyota Alphard dan lori berkenaan.

"Pemandu lori dipercayai mencuba mengelak tetapi terlanggar motosikal ditunggang bapa mangsa di sebelahnya," katanya di Alor Gajah, hari ini.

Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terperosok di bawah lori dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadianmanakala bapanya cedera di kaki.

Pemandu Proton Wira cedera di kepala manakala pemandu lori dan Toyota Alphard tidak cedera, katanya.

Jenazah Nur Aqilah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala bapanya dan pemandu Proton Wira dirawat di hospital yang sama.

Katanya, kemalangan berlaku di jalan satu lorong dua hala dan cuaca ketika kejadian baik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Share This