Selasa, 21 Julai 2020

Mayat nelayan ditemukan terapung berhampiran SICC

SOP: Mayat mangsa diangkat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum dihantar ke HQE untuk tindakan lanjut
KOTA KINABALU: Mayat nelayan warga emas ditemukan terapung berdekatan bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mayat yang sudah dikenalpasti itu ditemukan kira-kira jam 5.30 petang oleh orang ramai sebelum laporan polis dibuat.

“Hasil siasatan mendapati mangsa adalah seorang nelayan berumur 78 tahun dan disahkan hilang semasa keluar menangkap ikan di perairan Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, sehari sebelum kejadian mangsa keluar rumah seawal jam 5.30 pagi dan pergi ke kawasan pelabuhan Tanjung Lipat bagaimanapun tidak pulang ke rumah seharian.

“Ahli keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan polis jam 11 pagi keesokan hari sebelum mangsa ditemukan jam 5.30 petang hari sama.

“Mayat mangsa berjaya dikenal pasti oleh anaknya berumur 36 tahun semasa proses pengecaman melalui gambar serta pakaian mangsa semasa kejadian,” katanya sambil menambah mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Jesselton Point oleh Pasukan Polis Marin (PPM).

Habibi berkata, sepasukan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjalankan proses nyahkuman terhadap mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat sebaik keputusan saringan COVID-19 dikeluarkan.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Loading...
Share This