Rabu, 22 Julai 2020

Malaysia henti bayar wang serahan kepada waris kesultanan Sulu sejak 2013

Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR - Malaysia sudah menghentikan pembayaran wang serahan berjumlah RM5,300 setahun melalui peguam yang mewakili sembilan waris Kesultanan Sulu sejak 2013 lagi, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, pembayaran itu dibuat berdasarkan Perjanjian 22 Jan 1878 antara Sultan Sulu Sultan Jamal Al Alam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat Borneo Utara British.

Selain pembayaran wang serahan kepada waris Kesultanan Sulu itu, Malaysia juga tidak pernah membuat sebarang pembayaran kepada kerajaan Filipina, katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik dalam laman web Parlimen bagi menjawab soalan Chang Foon Hin (PH-Kota Kinabalu) hari ini.

Foon Hin ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menghentikan pembayaran wang pajakan RM5,300 kepada Kesultanan Sulu melalui Kerajaan Filipina sebagai langkah menamatkan terus campur tangan luar terhadap kedaulatan Malaysia dan menggunakan wang itu bagi menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin Filipina ke Sabah.

Hishammuddin berkata, Malaysia juga tidak mengiktiraf dan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah memandangkan negeri itu telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak 16 September 1963.

Menurutnya Malaysia dan Filipina mempunyai persefahaman bahawa isu tuntutan Sabah tidak akan dibangkitkan di mana-mana platform rantau atau antarabangsa.

"Sehingga kini, tuntutan ke atas Sabah hanya pernah dikemukakan oleh pihak yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu,” katanya. - Bernama

Loading...
Share This