Khamis, 9 Julai 2020

Lelaki guna salinan MyKad orang mati dipenjara

GAMBAR HIASAN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tanpa dokumen berumur 41 tahun, dipenjara 11 bulan pada Rabu kerana menggunakan salinan MyKad milik orang lain, yang telah meninggal dunia, sebagai dokumen pengenalannya.

Madiwah Roloh mengaku bersalah di hadapan Majistret Afiq Agoes kerana memiliki satu salinan MyKad milik Mohamad Mamat Harun dengan nombr siri 781111-12-6015 pada pukul 11 pagi 24 Mei tahun ini di kaunter nombor lapan di Balai Ketibaan Domestik Semenanjung/Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.

Madiwah, yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia hanya orang kampung dan tidak mempunyai pekerjaan kerana dia tidak mempunyai kad pengenalan (KP).

Menjelas lanjut kepada mahkamah, Madiwah berkata dia tidak mempunyai KP sejak dahulu lagi dan dia mendapat MyKad tersebut dengan bantuan seorang rakan.

Madiwah berkata dia adalah orang Kimaragang dari Pitas, dan pada waktu kesalahan itu dilakukan, dia dari Kuala Lumpur dan ingin kembali ke Sabah.

Katanya, dia sudah banyak kali meminta bantuan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya untuk mendapatkan kad pengenalan tetapi tidak berjaya.

Apabila ditanya sama ada dia mempunyai sijil lahir, Madiwah mendakwa bahawa dia kini dalam proses mengatur sijil lahirnya.

Dalam menjatuhkan hukuman, Afiq memberitahu Madiwah bahawa mahkamah bersimpati jika dia benar-benar tidak dilayan dengan baik oleh JPN Putrajaya tetapi memberitahu Madiwah apa yang dia lakukan itu adalah salah kerana dia menggunakan KP orang lain.

Mahkamah memerintah Madiwah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan merujukkannya kepada Jabatan Imigresen selepas itu.

Sementara itu, mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan, pada hari tersebut Madiwah menunjukkan satu salinan MyKad kepada seorang pegawai di kaunter itu, yang kemudiannya didapati tidak merujuk kepada tertuduh.

Fakta menyatakan bahawa pemilik MyKad itu adalah Mohamad Mamat Harin yang telah meninggal dunia pada 1 November 2015 di Hospital Kota Marudu.

Madiwah mengaku menggunakan MyKad itu untuk pulang ke kampungnya di Kg Mantus, Pitas, Kota Marudu dan berjumpa dengan ibu bapanya, kerana dia terlalu rindukan mereka selepas berpisah kira-kira 32 tahun.

Madiwah berkata dia telah berada di Sepang sejak dia berusia 11 tahun selepas seorang lelaki membawanya ke situ untuk bekerja di sebuah restoran di Cheras pada 25 Oktober 1992, dan tidak mempunyai dokumen pengenalan hingga sekarang, mengikut fakta itu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 25(1)(o) Peraturan Pendaftaran Negara, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Inspektor Lim Swee Beng menjalankan pendakwaan. - Harian Sabah Ekspress

Loading...
Share This