Jumaat, 10 Julai 2020

Lelaki cedera digigit buaya di Tuaran

Mangsa cedera di kaki akibat digigit buaya di Sungai Kampung Saman Berungis, Tuaran.
TUARAN: Seorang lelaki cedera di bahagian pergelangan kaki selepas digigit buaya dalam kejadian di Sungai Kampung Saman Berungis, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa Maksud Samad, 57, dipercayai cuba mengejar monyet dengan berjalan menyeberangi sungai terbabit.

Bagaimanapun, tanpa disedari, mangsa tiba-tiba diserang seekor buaya yang dianggarkan sepanjang hampir dua meter.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan itu dari Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung berkenaan sebelum ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan ditempat kejadian didapati rumah mangsa terletak berhampiran sungai paya bakau di kawasan kampung berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang mengejar monyet dan menyeberang sungai pada kedalaman paras pinggang namun mangsa diserang seekor buaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, mangsa kini masih dirawat di wad Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) akibat patah pergelangan kaki kanan.

“Kes sudah dirujuk untuk tindakan Jabatan Perhilitan dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian seperti ini supaya disalurkan kepada polis di talian 088-791933, 088-791966 atau 088-791977,” katanya.

Hamizi dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat sebarang aktiviti yang berhampiran dengan sungai.

“IPD Tuaran akan sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan sewajarnya ke atas sebarang kejadian jenayah yang berlaku di sekitar Daerah Tuaran ini,” katanya.

Loading...
Share This