Khamis, 23 Julai 2020

Khabar angin pertukaran kerajaan Sabah semakin kencang

Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR - Khabar angin yang mendakwa kerajaan Sabah akan bertukar dalam masa terdekat kini semakin bertiup kencang.

Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan Sabah kini semakin pincang termasuk Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah yang didakwa semakin hilang sokongan daripada ahli partinya sendiri.

"Saya dengar angin bertiup semakin kencang dan jangkaan peralihan ini akan berlaku semakin dekat. Berapa cepat itu kita tidak pasti tetapi khabar angin ini semakin kencang.

"Kita tunggu sahaja, mudah-mudahan ada berita yang mengejutkan akan berlaku. Bukan mengejutkan sangat tetapi ia sudah dijangka akan berlaku," katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini blok penyokong kerajaan yang dianggotai Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) diketuai Mohd Shafie menyandang 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Daripada jumlah itu, lima orang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dan difahamkan sokongan mereka tidak diambil kira dalam pembentukan kerajaan negeri.

Baki 20 kerusi DUN lagi dikuasai oleh pembangkang yang terdiri dari Barisan Nasional (BN), Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bebas.

Selain itu, terdapat dakwaan mengatakan gabungan pembangkang dikatakan sudah mempunyai lebihan satu kerusi, sekali gus membolehkan mengambil alih kerajaan negeri yang memiliki 60 kerusi DUN.

Bagaimanapun, pemimpin parti yang mentadbir negeri dan pembangkang kini difahamkan sedang berusaha mendapatkan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi memaklumkan bilangan atau kedudukan sokongan parti masing-masing.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua menyangkal dakwaan bahawa akan ada perubahan kerajaan di Sabah akibat impak perubahan politik di peringkat Persekutuan.

Loading...
Share This