Ahad, 19 Julai 2020

Kes baharu COVID-19 kembali dua digit, satu kematian

KUALA LUMPUR: Malaysia kembali merekodkan dua angka kes baharu COVID-19 selepas sebanyak 15 kes baharu dilaporkan di negara ini setakat Ahad, berbanding sembilan kes baharu pada hari sebelum.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 8,779 kes.

Daripada jumlah kes baharu, sebanyak empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, di mana dua dikesan dalam kalangan warganegara.

Sementara, dua lagi masing-masing adalah bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja  dan pasangan kepada rakyat Malaysia.

Daripada 11 kes penularan tempatan pula, Dr Noor Hisham berkata lapan kes dikesan dalam kalangan rakyat negara ini, manakala tiga kes melibatkan bukan warganegara.

Dalam perkembangan sama, sebanyak tujuh kes dilaporkan telah sembuh sepenuhnya, dan dibenarkan discaj pada Ahad.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,553 kes atau 97.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan satu kematian baharu berkaitan COVID-19 dilaporkan, hari ini

Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 123 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jelas Dr Noor Hisham, mangsa adalah seorang lelaki warga Malaysia berusia 72 tahun, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.51 malam, pada 17 Julai lalu.

"Beliau merupakan penghuni di pusat jagaan warga emas dan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai.

"Beliau telah dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 17 Julai  dan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan. Beliau disahkan positif COVID-19," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Setakat ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini adalah 103 kes.

Sehingga kini,  dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala satu kes  memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut perincian kes penularan COVID-19 dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia:

- Sarawak – lima kes: Satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8743); satu kes saringan kendiri; satu kes saringan sebelum kembali bekerja; dua  kes saringan rawak di lapangan iaitu di pintu masuk utama negeri Sarawak.

- Selangor: Satu kes saringan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

- Sabah: Satu kes saringan prosedur di Hospital Queen Elizabeth 2.

- Johor: Satu kes Brought In Dead (BID). Kes ini juga merupakan kes kematian ke-123 yang dilaporkan hari ini.

Bagi kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula adalah seperti berikut:

- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Satu kes daripada Kluster Restoran Kuala Lumpur.

Kluster ini adalah;
i. Selangor: Satu kes daripada Kluster Rumah Kongsi Sepang.

ii. Sarawak: Satu kes daripada Kluster Jeti Kuching.

Loading...
Share This