Isnin, 20 Julai 2020

Kes baharu COVID-19 di Putatan tenat di ICU

KOTA KINABALU: Satu kes baharu COVID-19 yang dikesan di Putatan membabitkan lelaki warga tempatan dan kini dalam keadaan tenat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, kes ke-382 itu dikesan positif semasa aktiviti saringan dijalankan sebelum prosedur d Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.

Katanya, kes berkenaan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan semua kontak pesakit dikehendaki menjalani ujian saringan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Putatan.

"Sehingga kini sebanyak empat kes aktif COVID-19 masih menjalani rawatan masing-masing satu kes di Tuaran, Sandakan, Putatan, dan Nabawan.

"Sabah merekodkan sebanyak 370 kes sembuh setakat 19 Julai dan sejumlah 136,598 ujian dijalankan sehingga kini," katanya dalam kenyataan di sini.


Beliau berkata, sejak beberapa hari kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes tempatan dan import.

Sehubungan itu, pihaknya ingin mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi saranan KKM dan bertanggungjawab membendung pandemik COVID-19.

Menurutnya, pandemik COVID-19 belum berakhir dan orang ramai perlu terus mengamalkan norma baharu agar penularan jagkitan terbabit terkawal. - Utusan Borneo

Loading...
Share This