Khamis, 30 Julai 2020

Kami masih ada majoriti untuk tadbir Sabah - Christina Liew

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew bertegas kerajaan negeri pimpinan Warisan masih mempunyai sokongan majoriti Adun negeri itu, walaupun selepas Musa Aman mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

“Shafie Apdal masih menjadi ketua menteri…beliau mempunyai semua sokongan kami,” kata Liew yang juga ketua PKR Sabah selepas menghadiri pertemuan di kediaman rasmi Shafie malam tadi.

Terdahulu, Musa dilaporkan berkata, beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Katanya, beliau akan menemui gabenor Sabah tidak lama lagi untuk menyerahkan akuan berkanun yang ditandatangani Adun pelbagai parti yang menyokongnya dan bersetuju menyertai gabungan baru pimpinannya.

Sementara itu, Liew tidak menjangkakan Naib Ketuanya yang juga Adun Inanam, Kenny Chua akan berpaling tadah.

“Saya betul-betul terkejut. Beliau patut melakukan perkara terhormat dan meletak jawatan dalam parti.”

Chua yang juga timbalan menteri kewangan Sabah, antara Adun yang menghadiri sidang media di rumah Musa semalam.

Dipercayai 10 hingga 12 Adun sudah berpaling tadah dan menyokong Musa.

Sementara itu, sumber mendakwa Shafie sudah menemui Gabenor Sabah, Juhar Mahiruddin awal malam tadi.

Tidak jelas alasan kunjungan itu, tetapi ia dipercayai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Wartawan berkumpul di luar kediaman rasmi Shafie di Likas di sini sejak 9.30 malam dengan harapan untuk mendapatkan komen presiden Warisan itu.

Beliau hanya pulang pada 10.30 malam tadi ditemani Liew, Naib Presiden Warisan, Jaujan Sambakong yang juag timbalan ketua menteri Sabah dan peguam negeri, Brenndon Keith Soh, tetapi mereka terus memasuki rumah di mana Adun memihak kepada Warisan turut hadir.

Shafie kemudiannya keluar dari rumah sebentar untuk menemui penyokongnya.

Ditanya jika beliau akan menemui gabenor Sabah, katanya: “Saya akan bercakap esok”.

Beliau dijadualkan mengadakan sidang media 10 pagi Khamis.

Loading...
Share This