Khamis, 2 Julai 2020

Covid-19: Satu kes baharu libatkan tahanan lokap IPD KK

KOTA KINABALU: Satu kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini melibatkan tahanan yang baru masuk lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sabah ialah 373.

Menurut statistik terbaharu itu, jumlah kes aktif kekal 10 kes ketika ini.

Sementara itu, terdapat satu kes yang dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan Covid-19 sebanyak 356 kes.

Jumlah korban akibat wabak Covid-19 juga kekal tujuh kes iaitu kali terakhir pada 12 Jun lalu.

Di peringkat nasional pula, penularan wabak Covid-19 mencatatkan perkembangan positif apabila hanya tiga kes baharu direkodkan, setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes baharu itu terdiri daripada dua kes tempatan dan satu kes import menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,643 kes.

Beliau turut memaklumkan, terdapat 62 kes pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang bebas daripada jangkitan Covid adalah 8,437 kes.

Tambahnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini, justeru jumlah kematian kekal sebanyak 121 kes.

Loading...
Share This