Selasa, 28 Julai 2020

Covid-19: Melonjak lagi 39 kes baharu hari ini

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara melonjak kembali dengan merekodkan 39 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,943 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 39 kes baharu itu, 28 kes membabitkan penularan tempatan di dalam negara, baki 11 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Ada 39 kes baharu Covid-19 hari ini, termasuk 28 kes jangkitan tempatan. Tiada kematian baharu tetapi ada 2 kluster baharu.

"Dua kluster baharu itu adalah Kluster PUI Sivagangga di Kedah (lima positif Covid-19 ) dan Kluster Satok, Sarawak (empat positif Covid-19)," katanya mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan ada enam kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 8,607 kes, 96.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 8,943 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 212 kes.

"Sehingga kini, hanya satu kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu lagi memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 124 kes, 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Loading...
Share This