Khamis, 23 Julai 2020

COVID-19: Kes positif boleh naik mendadak

PUTRAJAYA: Kes positif COVID-19 akan meningkat mendadak jika kadar kebolehjangkitan naik kepada lebih 1.6, ekoran kegagalan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada pertengahan Mac lalu, kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia ialah 3.55 iaitu seorang pesakit mampu menjangkiti 3.55 individu lain.

Beliau berkata, apabila PKP dilaksanakan sehingga tiga fasa dan kemudian PKP Bersyarat, kadar kebolehjangkitan dapat diturunkan hingga kepada 0.3.

Katanya, dalam tempoh tiga minggu sehingga 1 Julai lalu, kes semakin berkurangan ke satu angka sehingga berjaya mencapai kes sifar jangkitan tempatan, selama tiga hari berturut-turut.

Bagaimanapun, beliau berkata, kini negara menyaksikan pertambahan kes baharu yang berganda.

"Kalau kadar kebolehjangkitan meningkat, kita bimbang ia bererti semakin ramai akan dijangkiti. Hari ini kadar kebolehjangkitan kita ialah 1.36. Jadi, apa yang membimbangkan kita kalau kadar kebolehjangkitan meningkat lebih 1.6.

"Bererti kita akan mendapat peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh masa terdekat.

"Jadi saya merayu kepada rakyat Malaysia supaya patuh kepada SOP. Hanya ada tiga perkara perlu dilaksanakan iaitu penjarakan selamat sejauh satu meter, memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan kerap," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bermula pada 1 Ogos nanti, rakyat Malaysia seharusnya sudah mewajibkan pemakaian pelitup muka terhadap diri sendiri dan keluarga.

Katanya, pemakaian pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan sehingga 60 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, jika penjarakan sosial juga diamalkan, peraturan penularan boleh dikurangkan sehingga 65 peratus.

"Jadi, kedua-dua penting untuk putuskan rantaian COVID-19 dan amalkan kerap cuci tangan menggunakan sabun dan air atau bahan nyah-kuman," katanya.

Loading...
Share This