Isnin, 27 Julai 2020

Covid-19: Empat kes baharu di Sabah termasuk kes import

KOTA KINABALU: Empat kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan Penampang.

Tiga daripada empat kes baharu itu merupakan jangkitan tempatan yang dikesan melalui pra-pembedahan dan satu kes pula membabitkan warganegara yang pulang dari Pakistan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 389 kes.

Bilangan kes aktif yang masih dirawat di hospital berpakar seluruh Sabah adalah sebanyak sembilan

Sebanyak tiga kes masing-masing dilaporkan di Kota Kinabalu dan Penampang manakala, satu kes di Tawau, Sandakan dan Putatan.

Beliau berkata, tiada sebarang kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini adalah seramai 373 kes.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan tujuh kes iaitu empat kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Keningau dan Tambunan.

Di seluruh Malaysia, sebanyak tujuh kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 8,904 kes. Kes baharu itu terdiri daripada tiga kes tempatan dan empat kes import.

Bilangan kes aktif di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 179 kes.

Manakala, terdapat satu kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,601 kes. Kes kematian di Malaysia meningkat kepada 124 kes.


Loading...
Share This