Khamis, 9 Julai 2020

Cadangan calon PM jalan penyelesaian kemelut politik negara - Shafie

KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan cadangan pelantikannya sebagai calon Perdana Menteri bertujuan menyelesaikan kebuntuan politik semasa yang melanda negara ketika ini.

Beliau yang juga presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, cadangan menjadikannya sebagai calon Perdana Menteri dilihat beliau sebagai satu penghormatan walaupun Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak menunjukkan ketegasan terhadap cadangan itu.

"Sejak awal lagi saya telah nyatakan cadangan menjadikan saya sebagai calon Perdana Menteri satu penghormatan untuk saya dimana ia dilontarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Inilah cadangan yang membolehkan supaya kita dapat dilihat bukan hanya dari segi harapan rakyat dapat disatukan dan saya percaya, apabila saya dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri, ia satu jalan penyelesaian.

"Walau bagaimanapun, sangat ketara tiada keputusan jelas dan tidak tegas dibuat oleh PH tapi kita tunggu keadaannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Geran Tanah Daerah Keningau dan Daerah Kecil Sook bertempat di Dewan Masyarakat Keningau, di Keningau, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Sr Bernard Liew Chau Min.

Dalam pada itu, Shafie turut menjelaskan pihaknya masih menunggu perbincangan diadakan di antara beliau dan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung calon Perdana Menteri untuk gabungan PH Plus.

"Kita akan lihat kalau ada perbincangan dan bagi kita tidak ada sebarang masalah mengenainya," katanya.

Shafie turut berkata buat masa ini pihaknya masih belum memutuskan sebarang keputusan berkenaan menjadi cadangan menjadi calon Perdana Menteri.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Majlis Presiden PH memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Ketua Menteri Sabah dalam usaha mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai kerajaan Persekutuan. - Harian Metro

Loading...
Share This