Khamis, 30 Julai 2020

Anwar tak setuju cadangan pilihan raya di Sabah, selepas Musa dakwa raih majoriti mudah

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya negeri di Sabah, susulan dakwaan bekas ketua menteri, Musa Aman mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Pengarah Pakatan Harapan itu berkata, penularan pandemik Covid-19 di dalam negara belum berakhir.

“Pilihan raya dalam keadaan Covid-19 dan sekatan ini masalah kita.

“Itu saya keberatan, kalau ada pilihan raya, jentera kita mesti dipersiapkan,” katanya selepas menemui pemimpin dan ahli PKR di Melaka.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kewajaran pilihan raya umum dipercepatkan susulan pengumuman Musa mendapat sokongan mencukupi daripada Adun Warisan, PKR, PPBM dan Umno Sabah pada Selasa.

Musa berkata, beliau akan menemui gabenor Sabah untuk menyerahkan akuan berkanun (SD) daripada Adun yang menyokongnya.

Katanya, gabungan baru diketuainya akan merangkumi wakil rakyat daripada Umno Sabah, PPBM, STAR, PBS dan Adun PKR, DAP, Warisan serta Upko.

Susulan itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking menggesa pilihan raya negeri diadakan di Sabah kerana tindakan Adun Warisan menyokong Musa ialah “pengkhianatan besar kepada mandat yang diberikan rakyat Sabah sejak 2 tahun lalu”.

Anwar berkata, PKR dan PH masih menyokong kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tindakan akan diambil terhadap Adun parti itu di Sabah yang menyokong Musa.

“Kalau sah ada, kita akan ambil tindakan.”

Antara Adun yang menghadiri sidang media Musa di Kota Kinabalu pada Rabu ialah Kenny Chua daripada PKR (Inanam), Ronnie Loh daripada DAP (Adun dilantik) dan Osman Jamal daripada Warisan (Balung), Hamisa Samat (Tanjung Batu), Musbah Jamli (Tempasuk), Bolkiah Ismail (Pitas), Anita Baranting (Tandek) serta Abidin Madingkir daripada Upko (Paginatan).

Loading...
Share This