Selasa, 21 Julai 2020

Adegan kejar mengejar di KK, tiga lelaki berjaya ditahan bersama dadah

Polis berjaya menangkap tiga suspek dalam satu adegan kejar-mengejar
KOTA KINABALU: Tiga lelaki berjaya ditahan polis selepas dikejar selama setengah jam ketika cuba melarikan diri daripada ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dalam kejadian di Jalan Lintas, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 44 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau itu akhirnya berjaya ditahan selepas kenderaan yang dipandu terbabas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan dibuat selepas berlaku aksi mengejar suspek dari kawasan King Fisher menuju ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) sehingga ke Jalan Lintas.

“Ketika kejadian, berlaku adegan kejar mengejar membabitkan empat kenderaan MPV dengan kenderaan suspek.

“Suspek enggan berhenti dan sebaik tiba di Jalan Lintas, kenderaan itu cuba masuk ke simpang arah kiri namun akhirnya terbabas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya lagi, selepas terbabas, tiga suspek berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh anggota MPV.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek berjaya menemui satu paket dadah dipercayai jenis syabu dan hasil siasatan awal ketiga-tiga suspek terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Menurut pengakuan awal, mereka telah mengambil dadah untuk tujuan peribadi dan hasil soal siasat serta pemeriksaan rekod jenayah lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai 16 rekod jenayah terdiri daripada kes dadah dan kes indeks iaitu pecah rumah serta samun.

“Dua lagi suspek masing-masing mempunyai lapan dan tiga kes,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi berkata, siasatan lanjut akan terus dilakukan untuk mendapatkan maklumat sejauh mana pembabitan suspek dalam kegiatan dadah.

“Buat masa ini, tangkapan menjurus kepada pembabitan suspek dengan dadah namun soal siasat lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Loading...
Share This