Rabu, 10 Jun 2020

Wanita ditikam di dada oleh lelaki tidak dikenali di Kota Belud

LOKASI: Lokasi kejadian wanita ditikam di bahagian dada oleh lelaki tidak dikenali.
KOTA BELUD: Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila ditikam lelaki tidak dikenali di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Kerang Benai, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian jam 6.30 pagi itu berlaku apabila mangsa warga tempatan berumur 79 tahun didatangi seorang lelaki tidak dikenali bertopeng serta berpakaian hitam dan berseluar panjang.

“Suspek memasuki rumah mangsa semasa mangsa berseorangan kemudian memegang baju mangsa sebelum menumbuk bahagian kepala dan mulut mangsa.

“Mangsa juga diugut bunuh dengan menggunakan dialek Bajau oleh suspek yang kemudian menikam bahagian dada mangsa,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang ketakutan cuba meronta melawan suspek dan menjerit meminta pertolongan jiran terdekat.

“Disebabkan takut dengan jeritan mangsa, suspek yang cuba melibas pisau di leher mangsa segera melarikan diri selepas mendengar suara jiran mangsa yang berteriak dari rumah sebelah,” katanya.

Zaidi berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di bahagian ruang tamu dan tiada saksi melihat kejadian terbabit.

“Pisau yang digunakan suspek tidak dilihat di lokasi kejadian dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan motif kejadian ini," katanya.

Mangsa menerima 14 jahitan akibat dari serangan itu dan menerima rawatan di Hospital Kota Belud kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - Utusan Borneo

Loading...
Share This