Khamis, 18 Jun 2020

SKMM rancang bina menara telekomunikasi baharu di Pitas

VIDEO memaparkan pengalaman Veveonah bermalam di atas pokok telah ditonton lebih 370,000 kali.
KOTA KINABALU: Sebuah menara telekomunikasi baharu dirancang untuk dibina di Kg Bilangau Kecil, Pitas, untuk menambah baik liputan Internet di kawasan sekitarnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan pada Rabu, berkata bahawa menara itu akan dibina di bawah Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, yang akan disiapkan pada suku kedua 2021.

“Berikutan satu video tular di media sosial mengenai seorang pelajar universiti yang bermalam di atas pokok untuk mengakses liputan telekomunikasi, SKMM telah melakukan pemeriksaan di Kg Sapatalang, Pitas, pada 15 Jun,” katanya.

“Berdasarkan laporan kami, terdapat menara telekomunikasi dengan liputan 3G dalam jarak 1.4 kilometer dari kampung pelajar itu.

“Liputan 3G membolehkan pelajar mengambil peperiksaan mereka secara dalam talian. Namun, mereka memerlukan liputan yang lebih tinggi untuk aktiviti penstriman.”

Menara baharu yang dicadangkan itu akan dibina berhampiran Kg Sapatalang, dan dapat dioptimumkan untuk meningkatkan liputan Internet di kampung itu sebaik siap.

Suruhanjaya juga berkata bahawa ia telah merancang, awal tahun ini, untuk meningkatkan liputan kepada 4G di kawasan tersebut, di bawah Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP).

“SKMM sentiasa prihatin dengan masalah masyarakat mengenai kemudahan telekomunikasi, terutama di kawasan luar bandar dan telah melakukan usaha berterusan untuk merapatkan jurang digital di seluruh negara,” katanya.

Baru-baru ini, satu video oleh Veveonah Mosibin, seorang pelajar matrikulasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), menjadi tular apabila ribuan netizen terharu dengan kesungguhannya.

Dengan sambungan internet yang terhad di kampungnya, Kg Sapatalang, Pitas, dia terpaksa membina sebuah pondok di atas bukit di hutan untuk mengambil peperiksaan dalam talian yang dijalankan oleh universiti itu.

Bagaimanapun, pondok yang dibinanya rosak akibat hujan dan angin kencang. Dia kemudian meletakkan beberapa batang kayu di atas pokok supaya dia dapat duduk untuk menjawab soalan peperiksaan.

Dia juga bermalam di pokok itu. Semasa berita ini ditulis, video YouTube itu ditonton lebih dari 370,000 kali dan salurannya mempunyai lebih daripada 47,000 subscriber.

Loading...
Share This