Isnin, 15 Jun 2020

Shafie: Saya yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata beliau memilih untuk terus menyokong Dr Mahathir Mohamad kerana beliau yakin dengan kepimpinan bekas perdana menteri itu.

"Saya sokong Tun M kerana saya yakin dengan kepimpinan beliau dari segi bawa arus perubahan walaupun dalam keadaan usia yang begitu lanjut.

"Tapi bila saya nampak manusia yang usianya begitu lanjut tapi pemikirannya, tubuh badannya, keupayaannya, alhamdullilah, ini antara petunjuk Tuhan untuk kita lihat, menilai, mana yang lebih baik walaupun usia muda.

"Yang ni usianya lanjut tapi dari segi wisdom kita harus pilih, maka saya lihat bahawa perlu untuk pastikan supaya pembinaan sebuah negara ada kelangsungannya," kata presiden Warisan itu dalam wawancara yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani semalam.

Shafie berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk bersama Mahathir walaupun diundang bersama perdana menteri Muhyiddin Yassin bagi membentuk gabungan kerajaan pada penghujung Feb lalu.

Dalam wawancara berkenaan, Shafie turut menyatakan kebimbangan bahawa ketiga-tiga parti PN - Bersatu, Umno dan PAS mewakili orang Melayu di negara ini yang mempunyai latar belakang pelbagai etnik.

"Lihat contoh keadaan yang ada, bimbang saya, pasal di ruang sebelah sana, kita ada Bersatu - Melayu, kita ada Umno - Melayu, kita ada PAS - Melayu.

"Ke mana Cina, ke mana India, Dusun, ke mana Iban, masyarakat lain, walhal kita ada rekabentuk struktur masyarakat yang makmur," katanya.

Shafie berkata apabila beliau mula memasuki gelanggang politik sejak menyertai Umno suatu ketika dahulu, rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan bukan sebab kepentingan untuk menjadi perdana menteri.

"Saya lontarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemu saya pada satu ketika dahulu: Give up your time, help Tun M, bantu dia.

"Ya, dalam keadaan memimpin negara bukan mudah, kita banyak cabaran bukan hanya pertembungan antara trade war US- China yang perlukan kita jangan ada perbalahan, jangan ada pergeseran, bukan hanya dalam PH, dalam Bersatu juga," katanya.

Menurut Shafie, beliau juga pernah mempersoalkan kemasukan Bersatu di Sabah namun mengubah pendirian itu demi perpaduan di negeri berkenaan.

Shafie berada di Lembah Klang pada 27 Feb ketika berlakunya pertemuan sekumpulan parti politik di sebuah hotel yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang'.

Beliau bagaimanapun tidak muncul di hotel berkenaan bersama Muhyiddin, pemimpin BN dan PAS serta sekumpulan pemimpin dari PKR diketuai Azmin Ali.

Langkah itu disusuli dengan pengumuman Bersatu keluar daripada PH dan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Krisis politik selama seminggu itu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac dan membentuk kerajaan Perikatan Harapan.

Tidak lama selepas itu, PH kehilangan Johor, Melaka, Perak dan Kedah. 

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa kerajaan negeri Sabah yang diketuai Warisan juga akan tumbang.

PH dilaporkan sedang membincangkan calon perdana menteri mereka sejak minggu lalu antara Mahathir dan Anwar.

Loading...
Share This