Ahad, 28 Jun 2020

Shafie: Pastikan semua mangsa banjir dibantu, jaga kebajikan mereka


PENAMPANG: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal melahirkan kerisauan terhadap keadaan penduduk di daerah-daerah yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku berikutan hujan lebat yang berlarutan sejak semalam sehingga awal pagi ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang telah diaktifkan dan semua agensi keselamatan serta pejabat daerah berkaitan memastikan kebajikan setiap mangsa diberi perhatian tanpa kompromi.

Mohd. Shafie berkata, mangsa yang terjejas perlu diselamatkan dan di tempatkan di pusat pemindahan yang selesa dan mempunyai peralatan asas serta bekalan makanan yang mencukupi dan disediakan bekalan perubatan untuk mengelakkan penularan penyakit seperti kolera.

“Kerajaan negeri akan pastikan bukan hanya keselamatan, kesihatan mereka saya telah minta supaya Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) lihat, perubatan merupakan masalah yang sering akan berlaku bila banjir berlaku, bekalan air tidak mencukupi keadaan tempat tidur mereka tidak akan begitu baik dan kebiasaan dia bila bekalan air tidak cukup maka diarrhea iaitu penyakit kolera akan ada berlaku di kawasan-kawasan ini.

“Saya telah minta contoh di kawasan Penampang kita bekalkan air yang bersih ke kawasan-kawasan yang memerlukannya, ada sesetengah tempat yang di situ juga bekalan makanan mungkin tidak kesampaian dan saya telah minta selaraskan pegawai-pegawai daerah supaya bekalan makanan tidak terkandas, mencukupi untuk kita bagi makanan kepada orang,”

“Sudahlah masalah air tidak cukup kalau makanan pun tidak dapat disediakan kerana mereka jauh dari kedai, ada pun kedai sudah banjir jadi beras semua kalau pun mahu masak gas tidak boleh tenggelam, elektrik tidak ada air paip tiada jadi kita kena pastikan bekalan ini dapat disediakan yang kering pun ada biskut mana-mana makanan segera yang boelh disediakan untuk mereka dapat makanan, anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika melawat mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Pusat Kebudayaan Penampang petang ini.

Terdahulu, Mohd. Shafie meluangkan masa lebih dua jam meninjau keadaan banjir yang melanda daerah Penampang melibatkan 12 buah kampung yang turut menyebabkan aktiviti perniagaan Pekan Donggongon lumpuh kerana ditenggelami air.

Turut bersama beliau ialah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jenny Lasimbang; ADUN Moyog, Jenifer Lasimbang dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Safar Untong.

Sebanyak 10 daerah di pantai barat Sabah dilanda banjir sejak tengah malam tadi melibatkan 395 mangsa daripada 64 keluarga di 105 kampung.

Daerah yang paling teruk terjejas ialah Kota Belud melibatkan 32 kampung disusuli Tuaran melibatkan 16 kampung dan Penampang serta Papar masing-masing 12 kampung,

Turut dilanda banjir ialah daerah Beaufort, Keningau, Tenom, Kota Marudu dan Pitas, manakala Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan sebanyak 10 pusat pemindahan telah dibuka setakat 5 petang ini.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony mengambil langkah segera memperbaiki dan memastikan keselamatan di jalan-jalan yang berlaku tanah runtuh.

“Saya sudah arahkan mana-mana kawasan termasuk di Kimanis jalan runtuh semua supaya aktifkan JKR pastikan supaya mereka ini daripada segi laluan pertama bila runtuh ialah rumah-rumah yang ada perlu bawa keluar selamatkan dulu nyawa-nyawa manusia rumah itu boleh diperbaiki tetapi kita perlu selamatkan.

“Mana-mana jalan yang terputus yang ada tanah runtuh mungkin menjadi masalah untuk kereta lalu saya sudah beritahu mereka bersihkan segera jangan buang masa dalam tempoh 24 jam kita aktifkan semua kita punya jabatan-jabatan supaya ianya dapat mengatasi perjalanan kereta atau pun manusia,” katanya. - Borneo Today

Loading...
Share This