Selasa, 23 Jun 2020

Punca kemalangan masih disiasat

KEADAAN lori yang terlibat dalam nahas jalan raya di jalan Ranau-Kota Kinabalu
TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan tiga anggotanya maut manakala seorang parah dalam kejadian kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu, hari ini.

Kemalangan berkenaan disahkan berlaku pada 1 tengah hari ketika semua anggota terbabit dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan bagi melaksanakan tugas rasmi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Sandakan berkata, kejadian membabitkan kenderaan lori tiga tan milik TLDM yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, akibat daripada kejadian itu, tiga anggota meninggal dunia manakala seorang lagi anggota mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan dan mereka yang meninggal dunia ialah Laskar Kanan Maslim Abdul Rahim, Laskar Kelas I Mohamad Firdaus Mat Izan dan Laskar Kelas I Muhammad Arif Idris.

"Manakala mangsa yang cedera Laskar Kelas II Vincent M Orel," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah daripada Panglima Tentera Laut kepada ahli keluarga anggota yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Loading...
Share This