Sabtu, 27 Jun 2020

Polis tahan 8 suspek disyaki pukul peniaga hingga mati

KOTA KINABALU: Polis menahan lapan individu termasuk empat wanita yang dipercayai terlibat dengan kes pergaduhan sehingga menyebabkan seorang peniaga kedai runcit maut di kedai miliknya di Kampung Pulau Penampang, Jalan Sulaman, Manggatal, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua suspek itu ditahan di beberapa lokasi berasingan pada pukul 7 hingga  9.20 malam semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam pergaduhan yang bertukar tragedi itu masih bebas dan pihak polis masih memburu dua suspek tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun datang ke kedai runcit mangsa untuk membeli dua botol air mineral dengan harga RM2.

“Mangsa kemudian memulangkan baki sebanyak RM3 kepada kanak-kanak itu. Apabila dia pulang ke rumah, ibunya tidak puas hati kerana baki wang yang dikembalikan hanya RM3, sedangkan wang yang diberikan kepada anaknya RM10.

“Pada pukul 3.15 petang, ibu kanak-kanak terbabit kembali semula ke runcit milik mangsa dan berlaku pertengkaran mulut kerana mangsa menyatakan wang yang diberikan oleh anaknya hanya RM5,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bapa kepada kanak-kanak terbabit pula datang sendiri ke kedai runcit  tersebut dan berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa.

katanya, suspek kemudian bertindak menumbuk dada dan kepala mangsa berkali-kali serta turut memukul mangsa menggunakan batang besi.

“Isteri mangsa yang melihat kejadian itu, bertindak memukul kepala suspek dengan kayu menyebabkan suspek cedera. Anak saudara mangsa yang berada di tempat kejadian turut dipukul.

“Suspek kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan manakala mangsa masih berada di lokasi kejadian dan mengadu sakit dada akibat daripada dipukul oleh suspek.

Tambahnya, sebelum tiba ambulans, dua lagi mangsa (masih bebas) bertindak memukul si mati menggunakan batang paip dan kayu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri manakala kedua-dua suspek tersebut terus melarikan diri.

Habibi berkata,apabila pegawai perubatan tiba, mangsa yang dijumpai di kedai runcit itu disahkan meninggal dunia di kedai itu pada pukul 4.49 petang.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian menemui tiga batang kayu dan satu batang paip plastik yang dipercayai digunakan oleh suspek yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Loading...
Share This