Rabu, 24 Jun 2020

Polis nafi serbu rumah ADUN Kuamut

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass menafikan anggota polis ada menjalankan serbuan di rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah sepertimana yang ditularkan di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Perkara itu menjadi tular selepas seorang pengguna media sosial terbabit memuat naik status menyatakan pihaknya mendakwa melihat beberapa kenderaan di perkarangan rumah itu yang dipercayai kenderaan polis.

Status terbabit juga mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) pihak polis dan meminta agar ahli keluarga terdekat Masiung untuk menyalurkan bantuan.

Zaini berkata, pihaknya menafikan berlaku perkara membabitkan polis menjalankan serbuan sebagaimana yang didakwa oleh pengguna FB berkenaan.

“Pihak polis datang ke rumah pemimpin terbabit pada malam Isnin selepas menerima panggilan daripada beliau yang menyatakan terdapat beberapa kenderaan mencurigakan di luar kediamannya.

“Pasukan yang dihantar di lokasi bagaimanapun tidak mengesan sebarang kenderaan mencurigakan di kawasan luar rumah itu serta kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kemudiannya menghubungi ADUN Kuamut itu dan memintanya untuk membuat laporan polis.

“Kita menasihatkan beliau untuk membuat laporan polis berkenaan dakwaannya melihat kenderaan mencurigakan didakwa itu bagaimanapun sehingga kini belum ada laporan polis yang diterima,” katanya.

Loading...
Share This