Isnin, 8 Jun 2020

Pitas catat kes pertama Covid-19

KOTA KINABALU: Sabah melaporkan dua kes Covid-19 baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di negeri ini sebanyak 355 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, satu daripada dua kes baharu itu dikesan di Pitas, iaitu kes positif yang pertama di daerah itu, manakala satu lagi kes dicatat di Kota Kinabalu.

Menurut statistik terbaharu di Facebook beliau, jumlah kes yang masih aktif di Sabah adalah 12 kes, di mana kes tertinggi dicatat di Kota Kinabalu dan Tuaran masing-masing dengan tiga kes, diikuti Tawau dan Beufort dengan dua kes.

Sehingga kini, sebanyak 338 pesakit telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj dan jumlah kematian di Sabah masih kekal sebanyak lima.

Sementara itu, jumlah kes Covid-19 baru di Malaysia telah menurun ke satu digit untuk pertama kalinya.

Pada hari ini, hanya tujuh kes baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,329 kes.

Daripada tujuh kes baharu itu, lima kes merupakan kes penularan tempatan yang melibatkan rakyat Malaysia, manakala selebihnya adalah kes import.

Sehingga kini, sebanyak 6,694 pesakit telah pulih sepenuhnya, termasuk 20 kes pulih yang dilaporkan pada hari ini.

Tiada kematian dilaporkan pada hari ini dan jumlah kematian masih kekal sebanyak 117.


Loading...
Share This