Selasa, 23 Jun 2020

Penganjuran majlis tidak lebih 150 orang dibenarkan di Sabah

KOTA KINABALU: Pelaksanaan majlis-majlis anjuran kerajaan dan swasta kini dibenarkan tidak melebihi 150 orang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam kenyataannya berkata, majlis yang dianjurkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) am pelaksanaan majlis kerajaan dan swasta.

Katanya, setiap agensi kerajaan dan swasta wajib mematuhi SOP am yang ditetapkan semasa menganjurkan sebarang mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah, dan majlis.

Menurutnya, jumlah kapasiti tidak melebihi 150 orang bergantung kepada saiz ruang dan penjarakan sosial di lokasi penganjuran.

Bagaimanapun katanya, penganjuran majlis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih tidak dibenarkan dan individu atau pesakit di bawah siasatan (PUI) dilarang hadir ke majlis yang dianjurkan.


Selain itu jelasnya, pihak penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk untuk pemeriksaan suhu badan dan melarang individu yang bergejala serta melebihi 37.5 darjah celsius untuk hadir ke dalam majlis.

Beliau berkata, semua peserta mesti mendaftarkan diri menggunakan imbasan kod QR melalui aplikasi SabahTrace atau pendaftaran yang disediakan penganjur.

Katanya, peserta juga dilarang berkumpul di luar ruang penganjuran selepas majlis selesai.

Loading...
Share This