Jumaat, 12 Jun 2020

Pemuda didakwa rogol teman wanita berusia 15 tahun di Kudat

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 21 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas tuduhan merogol teman wanitanya yang berusia 15 tahun.

Mohd Syukri mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus kepada perlakuan kesalahan itu antara Mac 2019 dan 25 Jun tahun sama di sebuah rumah di sebuah kampung di Kudat.

Tuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip yang menjalankan pendakwaan, tidak menawarkan ikat jamin bagi Syukri atas sebab tuduhan itu tidak boleh diikat jamin dan Syukri juga tidak mempunyai dokumen sah.

Syukri, yang tidak diwakili, mengesahkan kepada mahkamah bahawa dia tidak mempunyai dokumen sah.

Elsie menetapkan 7 Julai untuk pengurusan kes prabicara dan memerintah supaya Syukri direman lanjut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, seorang lelaki meminta dibicarakan bagi tuduhan mengugut anak tiri perempuannya.

Gurpreet Singh Mann dituduh menakutkan secara jenayah terhadap Lenny Edward pada pukul 1 pagi 4 Jun di Kg Gana di Kepayan.

Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 21 Julai untuk pengurusan kes dan melepaskan Gurpreet dengan jaminan RM2,000 dan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menghubungi anak tirinya itu dengan apa cara sekali pun sehingga pelupusan kesnya.

Terdahulu, pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin, sementara Gurpreet yang tidak diwakili, meminta ikat jamin rendah.

Tuduhan dibuat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 21 Julai untuk pengurusan kes dan menawarkan kepada Gurpreet jaminan RM2,000 dengan dua penjamin.

Di mahkamah sama, seorang wanita mengaku tidak bersalah mencuri satu telefon pintar.

Dg Nur Atiqah Repin didakwa mencuri gajet milik Nurelna Sufian itu pada pukul 7.15 malam 18 April 2019 di sebuah bangunan di Jalan Tuaran.
Pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM5,000.

Nur Atiqah yang tidak diwakili, meminta ikat jamin rendah atas sebab dia mempunyai tiga anak kecil dan hanya menjual kek untuk menyara hidup.

Dia juga mendakwa bahawa ia merupakan kes lama dan mengaku pada waktu itu dia lebih nakal, tetapi dia sekarang sudah berubah dan hanya mahu menjaga anak-anaknya.

Mahkamah menetapkan 14 Julai untuk pengurusan kes dan melepaskan Nur Atiqah dengan jaminan RM1,500 dan dua penjamin.

Loading...
Share This