Sabtu, 13 Jun 2020

Michael Ubu direman 7 hari

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan perintah reman tujuh hari terhadap peguam, Michael Persius Ubu di Mahkamah Majistret pagi ini.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman itu dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basiruddin manakala Michael diwakili peguam, Zahir Shah.

Baca Juga: Peter Anthony mengaku tidak bersalah lima pertuduhan pengubahan wang haram

Terdahulu, Michael tiba di mahkamah pada pukul 9.40 pagi ini sambil diiringi pegawai agensi itu dengan memakai baju oren lokap SPRM.

Michael sebelum ini disenaraikan antara 21 peguam di negara ini yang diburu polis.

Peguam itu turut dicari SPRM sejak 2017 bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Sementara itu, jurucakap SPRM berkata, Michael ditahan di pejabat agensi itu kira-kira pukul 4.15 petang semalam.

Katanya, sebelum itu, Michael tiba di pejabat SPRM pada pukul 1.30 petang selepas diarah hadir untuk membantu siasatan.

“Kami perlukan masa untuk menyiasat sehab itulah permohonan reman dibuat selama seminggu.

“Selepas ini hasil siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan jika ada arahan untuk dakwa, kami akan buat pertuduhan,” katanya. - Borneo Today

Loading...
Share This