Sabtu, 20 Jun 2020

Menteri Sabah berdepan pertuduhan baru di KL berkait dakwaan dokumen palsu

Peter Anthony
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony dijangka berdepan pertuduhan baru di Mahkamah Sesyen di sini Isnin depan.

FMT difahamkan bahawa Anthony dijangka dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana didakwa “menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen asal”.

Hukuman maksimum jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 471 ialah penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan baru ini bagaimanapun tidak berkait dengan kes urus niaga tanah Risda di Sabah.

Minggu lepas Anthony dihadapkan dengan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM8.75 juta di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu berhubung urus niaga tanah Risda.

Satu pertuduhan lain difailkan terhadapnya pada Khamis 18 Jun kerana didakwa bersubahat dengan peguam Michael Persius Ubu dalam kes pecah amanah jenayah.

Ubu juga berdepan 2 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM3 juta.

Urus niaga tanah Risda disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2017 dan 2018, tetapi Ubu tidak berada di Sabah sewaktu agensi itu berusaha mendapatkan kerjasamanya bagi membantu siasatan. - Free Malaysia Today


Loading...
Share This