Sabtu, 13 Jun 2020

Lelaki maut kereta terbalik dalam longkang di Penampang

ANGGOTA Bomba mengeluarkan mangsa. Foto Juwan Riduan
LELAKI lemas manakala isteri, anak dan cucunya berusia setahun terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Panglima Banting, Penampang, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, empat sekeluarga terbabit yang menaiki Toyota Land Cruiser itu dikatakan bergerak dari arah Donggongon menuju ke Putra Pogun.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa berusia 62 tahun terbabas ke dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemandu iaitu mangsa yang lemas dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke dalam longkang.

"Tiga penumpang iaitu isteri, anak perempuan dan cucu perempuannya berusia setahun berjaya menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa dikeluarkan daripada kenderaan dengan bantuan pasukan bomba.

"Pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth (HQE I) yang tiba di lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, keadaan jalan dan cuaca amat baik. Polis meminta saksi kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Share This