Ahad, 28 Jun 2020

Lapan daerah dilanda banjir di Sabah

Banjir di Kota Belud. Ihsan Pembaca
KOTA KINABALU: Hujan lebat yang turun sejak semalam hingga awal pagi tadi mengakibatkan lapan daerah di pedalaman dan Pantai Barat Sabah terjejas banjir.

Lapan daerah yang terjejas dilanda banjir adalah Kota Belud, Penampang, Putatan, Tuaran, Beaufort, Kota Marudu, Pitas dan Papar.

Susulan kejadian banjir yang berlaku, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong ketika dihubungi pagi tadi memaklumkan Jawatankuasa Bencana Alam Negeri telah diaktifkan bagi memantau kejadian banjir di seluruh Sabah.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM), setakat pagi tadi, pendaftaran di pusat-pusat pemindahan yang dibuka seluruh Sabah masih dijalankan.

Setakat 12 tengah malam semalam, 19 kampung di daerah Kota Belud dilanda banjir. Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Belud, iaitu di Dewan Masyarakat Tun Said dan SMK Taun Gusi II.

Di Penampang, dua PPS dibuka di Pusat Kebudayaan Penampang dan Dewan Jud SK St. Aloysius semalam. Terdapat 12 kampung dinaiki air.

Sementara dua kampung di Putatan iaitu Kampung (Kg) Sailan dan Kg Teguli dinaiki air.

Pekan Donggongon, Penampang
Di Tuaran pula, tiga kawasan dinaiki air. Ia turut menyebabkan Jambatan Lama Tamparuli ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Sementara di Beaufort, empat kawasan di Membakut mula dinaiki air termasuk tiga buah kampung. Namun, jalan di daerah ini masih boleh dilalui semua jenis kenderaan setakat semalam.

Manakala, di Tandek, Kota Marudu, tujuh kampung dinaiki air setakat 11 malam dan jalan yang terjejas banjir juga masih boleh dilalui semua jenis kenderaan.


Di daerah Pitas, dua jalan iaitu Jalan Tambilidon dan Jalan Salimpodon mula dinaiki air namun, jalan masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Turut terjejas banjir, beberapa kampung di daerah Papar termasuk kawasan Kampung (Kg) Simpudu, Kg Kabang dan Kg Ulu, Kimanis.

Banjir di Kimanis
Beberapa kawasan turut dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh termasuk di KM 41, Jalan Keningau-Kimanis yang membabitkan kawasan seluas 10 meter.

Keadaan itu mengakibatkan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kimanis turut dinaiki air.

APM turut melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir berhampiran Sungai Liawan, Keningau.

Loading...
Share This