Ahad, 14 Jun 2020

Kes pertama disyaki kluster raya di Sarawak

PENUNTUT perempuan di Bintulu yang positif Covid-19 hari ini dikenal pasti mangsa pertama kluster hari raya di negeri ini.

Penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Mukah itu dikatakan sudah balik ke kampungnya di Bintulu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada pertengahan Mac lalu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, hasil siasatan awal mendapati penuntut terbabit pernah menerima kunjungan saudara mara pada perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Justeru katanya, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu kini sedang mengesan semua kontak rapat kepada penuntut terbabit.

"Punca jangkitan masih lagi dalam siasatan buat masa ini dan kes ini dikesan melalui saringan pelajar IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Sarawak seperti yang diarahkan oleh JPBN.

"Difahamkan beliau pernah menerima kunjungan saudara mara pada perayaan Aidilfitri yang lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan kes terbaharu itu, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak sehingga kini direkodkan sebanyak 557 kes.

Sementara itu, beliau berkata, tiada kes baharu yang sembuh dan discaj dari hospital, hari ini sekali gus jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang sembuh dan discaj kekal seramai 533 orang. - Harian Metro

Loading...
Share This