Rabu, 3 Jun 2020

Kes COVID-19 di Beaufort dikesan di Labuan

KOTA KINABALU: Satu kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di daerah Beaufort pada 2 Jun 2020 adalah kes tempatan yang dikesan di pintu masuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, kes berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Beaufort kembali bekerja di Labuan.

"Pesakit terbabit kini menerima rawatan di Hospital Labuan. Punca jangkitan masih dalam siasatan dan kontak rapat pesakit turut dikenal pasti.

"Dengan penambahan satu kes terbabit, Sabah kini merekodkan jumlah kes COVID-19 sebanyak 348 kes.

"Seramai 11 pesakit masih menjalani rawatan di enam hospital berpakar dan sebanyak 332 kes dilaporkan sembuh," katanya dalam kenyataan di sini.


Berikutan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan kemasukan semua perjalanan ke Sabah, pihaknya menasihatkan agar anggota perkhidmatan perlu (essential services) membuat ujian makmal sebelum memasuki Sabah sebagai syarat pengecualian kuarantin.

Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) perlu mengetahui keputusan ujian COVID-19 bagi mereka yang memasuki negeri ini.

Tindakan itu katanya, bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 di Sabah yang dibawa masuk dari luar. - Utusan Borneo

Loading...
Share This