Selasa, 23 Jun 2020

Jalan Papar Lama sudah ragut 8 nyawa pengguna jalan raya

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Batholomew Umpit
PAPAR: Lebuh Raya Pan Borneo di sepanjang Jalan Papar Lama yang sedang dalam pembinaan telah meragut lapan nyawa pengguna jalan raya setakat ini.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Batholomew Umpit berkata, sejak Januari hingga sekarang, empat kemalangan dilaporkan berlaku di sepanjang KM5 hingga KM33 Jalan Papar Lama ini dengan membabitkan lapan kematian.

Bagaimanapun, punca kemalangan masih belum dapat dipastikan kerana siasatan masih berjalan.

Katanya, apabila kertas siasatan sudah lengkap barulah kes akan dibawa kepada pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

Ditanya adakah kemalangan yang berlaku disebabkan faktor memandu terlalu laju, Batholomew berkata, beliau tidak boleh menyatakan sebegitu kerana ini memerlukan kajian teknikal.

“Apabila kemalangan melibatkan kenderaan awam, kenderaan itu akan dihantar ke Puspakom manakala, kenderaan kerajaan akan dihantar ke Jabatan Kerja Raya (JKR). Mereka yang akan menentukan had kelajuan.

“Hal berkaitan teknikal ini biarlah pihak yang mahir menentukannya,” kataya ketika ditemui semasa Lawatan Jawatankuasa Bencana dan Keselamatan daerah Papar, di Jalan Papar Lama, hari ini.

Menurutnya, bidang kuasa polis adalah untuk menyiasat kes kemalangan yang berlaku namun, kelajuan pemanduan akan ditentukan oleh bahagian teknikal.

Kemudian ditanya adakah ketiadaan lampu jalan menyumbang kepada kemalangan, beliau berkata, sukar untuk dipastikan kerana ada kejadian kemalangan yang berlaku pada waktu siang termasuk kemalangan yang meragut tiga nyawa pengguna pada 19 Jun lepas.

Mengenai pemantauan di Jalan Papar Lama, beliau berkata, pasukan peronda MPV dan polis trafik akan mengadakan rondaan berkala di kawasan ini bagi mengelakkan berlaku kemalangan.

Katanya, penempatan anggota secara tetap tidak dapat dilakukan di situ kerana penugasan anggota sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut melibatkan tugas-tugas lain. - Borneo Today 

Loading...
Share This